Monday, February 14, 2011

masalih al-mursalah


PENGERTIAN MASALIH
Al-masalih dari segi bahasa ialah jamak dari dari maslahah, sama seperti manfa’ah pada wazan dan makna. Sementara dari segi istilah ialah “menarik manfaat dan menolak kemudharatan”, ertinya memelihara objektif syarak menciptakan hukum dengan memelihara al-dururiyyat al-khams iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Maka setiap sesuatu yang memeliharakannya dinamakan maslahah dan apa juga yang meluputkannya dinamakan mafsadah.
Menurut bahasa maslahah bermaksud kebaikan. Maslahah mursalah pula bermaksud kebaikan yang tidak terikat pada dalil al-Quran, as-sunnah dan ijmak. Ia dikenali juga sebagai “istislah”. Menurut istilah usul maslahah mursalah ialah penetapan hukum yang tidak dinyatakan oleh al-Quran, sunnah dan ijmak tetapi berdasarkan pertimbangan menarik kebaikan dan menolak keburukan dalam kehidupan masyarakat.
Maksud maslahah al-mursalah ialah sifat-sifat yang boleh mendatangkan kebaikan atau menjauhkan makhluk atau manusia daripada keburukan disebabkan oleh diikat hukum dengan sifat-sifat itu dan dibenarkan hukum keatasnya, dan tidak ada sesuatu dalil syarak yang khusus memperakui dan menghapuskannya.
Objektif pembinaan hukum ialah hendak mendatangkan kebaikan kepada manusia dengan memberi kerosakan atau kemudaratan dari menimpa mereka.
Huraian :
Yang dapat difahami dari pengertian masalih al-mursalah di atas bahawa ia tidak ada melainkan pada masalah yang syarak tidak menjelaskan hukumnya dan tidak ada usul yang tertentu yang dapat dikiaskan dengan masalah itu keatasnya tetapi didapati dalamnya keadaan yang sesuai dan patut dijadikannya sebagai asas hukum  syarak dan membolehkan datang kebaikan atau menjauhkan dari keburukan.[1]
Antara contohnya ialah harus bagi pemerintah yang adil mewajibkan orang-orang yang kaya untuk mengeluarkan sejumlah wang yang ditetapkan bagi menambah tentera dan alat-alat keperluan perang untuk mempertahankan Negara jika wang perbendaharaan tidak mencukupi untuk membayarnya. Ini adalah merupakan masalih al-mursalah kerana tidak ada suatu dalil yang khusus menegaskan atau melarang perbuatan itu bahkan ia merupakan usaha yang baik dan mendatangkan kepentingan awam kepada masyarakat iaitu dengan angkatan tentera yang kuat dapat dipertahankan masyarakat dari ancaman musuh.

BAHAGIAN-BAHAGIAN MASALIH

Masalih adalah jama’ dari maslihatun iaitu menarik menfaat dan menolak kemudharatan. Jika maslihatun mempunyai dua pihak.
      I.        Pihak positif iaitu menarik menfaat.
    II.        Pihak negitif iaitu menolak kemudharatan.
Dan kadang-kadang disebut maslihatun dan dikehendaki pihak positif sahaja lalu disertakan perkataan menolak kemudharatan bersama perkataan maslihatun sebagaimana yang terdapat pada perkataan para fuqaha :
دفع المفسدة مقدم على جلب المصلحة.
Maksudnya: menolak kemudharatan didahulukan menarik kemaslihatan atau kemanfaatan.[2]
Masalih menurut syarak terbahagi kepada :
1)    Iaitu maslahah yang diperakui oleh Allah SWT.
Contohnya :
      I.        Memelihara nyawa dengan mengenakan hukuman qisas.
    II.        Memelihara maruah dan diri seseorang dengan hukuman qazf.
   III.        Memelihara keturunan dengan hukuman zina.
Allah SWT menetapkan maslahah yang kukuh ke atas hukuman di atas dan tidak boleh dipersoalkan oleh manusia. Dan manusia wajib melaksanakan hukuman itu.
Pertama : maslahah mu’tabarah, iaitu maslahah yang diambil kira syarak dan membina hukum-hukum bagi mendapatkan maslahah itu (kebaikan kepada manusia). Di antara contohnya bagi maslahah memelihara jiwa maka disyariatkan hukum qisas dan haram mencerobohinya. Bagi maslahah memelihara harta maka diperundangkan hukum potong tangan pencuri, dan bagi kepentingan memelihara akal diperundangkan hukuman minum arak.
Kedua : maslahah mulghah, iaitu yang dibatalkan oleh syarak dan tidak diberi perhitungan kerana ia menghilangkan maslahah yang lebih besar seperti menyerah kalah kepada musuh, maka ia tidak diperhitungkan oleh syarak walaupun ada maslahah memelihara jiwa mereka yang berperang, kerana kalau maslahah ini hendak dijaga sudah tentu ia merugikan maslahah yang lebih besar iaitu memelihara Negara daripada dijajah oleh musuh dan mensia-siakan kehormatan dan maruah anak watannya,jester inilah maka islam mewajibkan berperang dan menentang musuh.
Iaitu maslahah yang tidak diperakui sama ada secara nyata ataupun tersirat dalam syarak.
Contohnya :

Membahagikan harta secara rata kepada anak perempuan dan anak lelaki dalam pewarisan bagi kepentingan awam. Tetapi sudah ada nas al-Quran dalam surah an-nisa yang menyatakan:
  
Maksudnya :
 Allah mensyari'atkan bagimu tentang (pembagian pusaka untuk) anak-anakmu. iaitu : bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; [3]dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua[4], Maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, Maka ia memperoleh separuh harta. dan untuk dua orang ibu-bapa, bagi masing-masingnya seperenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya (saja), Maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, Maka ibunya mendapat seperenam. (Pembahagian-pembahagian tersebut di atas) sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Ketiga : maslahah mursalah, iaitu iaitu maslahah yan tidak ada dalil syarak yang mengambilkiranya atau membatalkan.
Maslahah yang diperakui oleh syarak tetapi tidak diperakui oleh nas al-Quran ataupun as-sunnah ataupun ijmak.
Contohnya :
a)    Kesahihan sesuatu pernikahan hanyalah dapat dibuktikan dengan sijil nikah. Ini tidak ada dalam dalil al-Quran tetapi diamalkan melalui masalih mursalah. Ini adalah bagi mengelakkan berlakunya penyaksian palsu.
b)    Penulisan dan pengumpulan al-Quran ; tidak terdapat dalil yang menyuruh ataupun melarang daripada melakukannya kerana perbuatan itu mengandungi kebaikan bagi kaum muslimin dan menjaga kemaslahatan maslahah.
c)    Mengurung atau memenjarakan pihak yang tertuduh supaya tidak melarikan diri.
d)    Harus bagi pemerintah yang adil mengeluarkan arahan supaya orang yang berharta mengeluarkan wang contohnya bagi membuat persiapan senjata bagi menjaga keselamatan Negara.








PENGERTIAN MASLAHAH MURSALAH
Al-masalih mursalah itu ialah maslahah-maslahah yang mana syarak tidak membina hukum-hakam bagi memperolehinya dan tidak ada dalil tertentu yang menunjukkan ia diambilkira atau dibatalkan. Terdapat sebahagian ulama menamakan dalil ini al-istislah yang bermaksud beramal dengan maslahah.
Apakah boleh diwujudkan hukum untuk mendapatkan maslahah seperti ini? Para jumhur ulama menjawab pasti boleh. Maka setiap persoalan yang tidak ada nas, ijmak, qiyas dan istihsan tetapi ada padanya maslahah dan kebaikan kepada manusia, nescaya haruslah bagi mujtahid mewujudkan hukum yang bersesuaian bagi memastikan maslahah itu tercapai.
Contoh hukum-hukum yang dibina berasaskan maslahah antara laian ialah mengumpulkan al-quran dalam satu mushaf oleh Abu Bakar, membentuk badan-badan kerajaan oleh Umar, mewujudkan penjara, mengenakan hukuman qisas ke atas satu kumpulan yang membunuh satu ornag sahaja, mewajibkan tukang membayar ganti rugi barang yang rosak diatas tangannya, diharuskan mengambil cukai daripada orang yang kaya selain dari zakat apabila kepentingan Negara memerlukannya bagi membangun kekuatan tentera atau menbina keperlua-keperluan dan kemudahan asas.











SYARAT-SYARAT MASLAHAH MURSALAH

v  Tidak ada suatu dalil al-quran, sunnah, ijmak ataupun qiyas yang dapat menegaskan atau menghapuskan hukumnya.

v  Hendaklah kemaslahatan yang dimaksudkan itu adalah umum bukannya peribadi bererti penentuan hukum itu dibina atas kemaslahatan umum dan menjauhkan kemudaratan kepada mereka.


v  Mestilah mendatangkan kebaikan, faedah serta menjauhkan kemudaratan masyarakat.

Pendapat ulama :

a)    Imam Malik, Syafie dalam satu pendapatnya dan kebanyakan ulama Syafie dan Hanafi menyatakan maslahah mursalah adalah dalil yang boleh mengeluarkan hukum.

b)    Al-Ghazali, al-Midi, Ibn Qudamah dan lain-lain menyatakan maslahah mursalah tidak boleh dijadikan dalil kerana bimbang berlaku perubahan kepada hukum syarak.






BAHAGIAN-BAHAGIAN MASALIH YANG DIPANDANG DARI SUDUT DIAMBILKIRA OLEH SYARAK ATAU TIDAK

Masalih dipandang dari sudut ini terbahagi kepada tida bahagian :

PERTAMA :
Masalih yang diambilkira ialah masalih yang muktabar iaitu masalih-masalih yang syarak menyaksikan iktibarnya (mengambilkira) dengan bahawa ia mengenakan daripada hukum-hukum yang sempurna yang boleh disampaikan kepadanya seperti hukum-hukum syarak yang dikenakan untuk memelihara agama, jiwa, akal, harta dan keturunan atau kehormatan, disyariat jihad dan membunuh orang murtad untuk memelihara agama. Qisas (bunuh balik) disyariatkan untuk memlihara jiwa dan darah. Disyariatkan pengharaman meminum benda-benda yang memabukkan dan didirikan hukum had keatas peminumnya adalah untuk memelihara akal. Disyariatkan pengharaman mencuri dan dikenakan potong tangan pencuri dan disyariatkan mengganti kerana mengambil harta oaring secara tidak sah (batal) adalah untuk memelihara harta. Pengharaman zina dan dikenakan sabat keatas orang yang berzina adalah untuk menjaga keturunan dan kehormatan.
Masalih ini harus dijadikan sebagai illah dan dibinkan hukum keatasnya dengan sepakat jumhur ulama yang  beranggapan qias sebagai hujah.

KEDUA :
Masalih-masalih yang syarak menyaksikan batalnya. Dengan bahawa ia mengenakan hukum-hukum yang tidak menunjukkan tidak diambilkira masalih tersebut, seperti diwajibkan ke atas orang kaya puasa dua bulan sebagai kafarah jimak di siang hari dalam bulan ramadhan, hukuman ini walaupun ia lebih sesuai dan maslihat dengan orang kaya daripada memerdekakan hamba disegi dapat mencegah berlakunya tetapi syarak membatalkannya dengan memperwajibkan keatasnya pada peringkat permulaan memerdekakan hamba, maka tidak harus mengambil kira maslihat tersebut kerana ia menyalahi nas tersebut didalam hadith   اَعْتِقْ رَقَبَةً yang bermaksud hendaklah engkau memerdekakan hamba.
Antara contohnya lagi ialah menyerah diri kepada musuh, ia kadang-kadang nyata maslihat padanya iaitu memelihara diri daripada dibunuh, tetapi syarak membatalkan muslihat ini dan tidak mengambil kira malah ia menyuruh memerangi musuh kerana mendatangkan kepadanya muslihat yang lebih berat atau kuat kepadanya iaitu memelihara kepadanya iaitu memelihara keadaan umat dan kehormatan mereka.
Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa muslihat yang membatalkan [5]ini tidak boleh dijadikan sebagai illah hukum.

KETIGA :
Muslihat-muslihat yang ulama menyaksikan batal dan tidak menyaksikan iktibarnya ini dikenali sebagai masalih al-mursalah.
Bahagian-bahagian masalih dipandang dari sudut kekuatannya pada dirinya. Masalih dipandang dari sudut ini terbahagi kepada tiga bahagian :

1)    MASALIH DURURIYYAT[6]

Iaitu masalih-masalih yang terhenti keatasnya kehidupan manusia sama ada berbentuk agama atau keduniaan, sekiranya tidak ada maka hancurlah kehidupan manusia di dunia dan menderitalah kehidupan manusia di akhirat. Maka masalih yang dururiyyah ini ialah perkar-perkara yang mana mungkin manusia dapat hidup tanpanya, dan apabila perkara tersebut tidak wujud maka ia menyebabkan berlakunya kefasadan atau kerosakkan yang berleluasa, porak peranda dan seterusnya sistem kehidupan akan menjadi kucar-kacir. Perkara-perkara yang dururiyyah ini ialah memelihara agama, jiwa, akal, keturunan atau kehormatan dan juga memelihara harta. Sebagaimana ulama menjadikan keturunan bersama kehormatan diri.
Bagi menegakkan agama maka disyariatkan ibadat dan untuk memeliharanya maka disyariatkan jihad, mengenakan hukuman keseksaan ke atas orang yang murtad, ditahan mufti yang suka bergurau dan tidak berakhlak dalam mengeluarkan fatwa dan dicegah mereka yang boleh merosakkan akidah orang islam.
Bagi memelihara jiwa maka disyariatkan hukum qisas ke atas mereka yang melakukan pembunuhan, diharamkan mencempakkan diri dalam lembah kebinasaan dan wajib mempertahankan diri dari sesuatu yang memudharatkannya.
Bagi memelihara akal maka disyariatkan pengharaman arak dan dikenakan hukuman had ke atas peminum arak.
Bagi mewujudkan zuriat maka disyariatkan hukum perkahwinan, seterusnya bagi memelihara zuriat maka disyariatkan human had zina dan hukuman had qazaf dan diharamkan pengguguran anak kecuali dalam keadaan yang darurat. Dalam pelaksanaan had qazaf dan had zina ialah bertujuan memelihara kehormatan diri manusia dan zuriatnya juga.
Bagi memelihara harta maka disyariatkan untuk memperolehinya maka disyariatkan pelbagai jenis muamalat seperti jual beli, sewa menyewa, bersyarikat dan sebagainya. Seterusnya bagi memelihara harta maka diharamkan memakan harta manusia secara batil (tidak sah), diharamkan membinasakan harta, diwajibkan menahan orang yang safih (bodoh-tidak pandai mengurus harta) dari bertindak ke atas hartanya, diharamkan riba dan dikenakan hukuman had kepada pencuri.

2)    MASALIH HAJIYYAT

Masalih hajiyyat ialah perkara-perkara yang diperlukan oleh manusia bagi menjalani kehidupan mereka dengan mudah dan senang, apabila perkara-perkara ini luput ia tidak merosakkan sistem kehidupan tetapi manusia akan menghadapi kesempitan dan kesulitan tetapi tidak membawa kepada kepentingan kehidupan seperti yang terdapat pada masalih dururiyyat.
Dalam perkara-perkara hajiyyat, untuk kepentingannya maka disyariatkan rukhsah (kelonggaran) ketika ditimpa masyaqqah dalam melaksanakan kewajipan-kewajipan seperti diharuskan berbuka puasa ramadhan bagi orang yang sakit, dibenarkan jual salam (menjual sesuatu yang tidak ada) dan akad tempahan demi untuk menolak kesempitan dan kesulitan yang dihadapi oleh manusia, walaupun akad-akad ini tidak sah ,menurut prinsip-prinsip umum. Disyariatkan talak (perceraian) bagi melepaskan suami dan isteri dari sesuatu kehidupan rumahtangga yang tidak aman lagi atau kerana terdapat sesuatu yang menyebabkan perlu mereka berpisah. Dalam kanun keseksaan islam ada disyariatkan hukum diat (gentian harta) bagi kes bunuh tanpa sengaja – dikenakan ke atas kaum kerabat pembunuh sebelah bapa (‘aqilahnya) kerana hendak meringankan beban pembunuh yang tidak sengaja.


3)    MASALIH TAHSINIYYAT

Adapun masalih tahsiniyyat ialah perkara-perkara yang dirujuk kepada adat-adat yang baik dan akhlak-akhlak yang mulia. Apabila ia hilang maka ia tidak akan mencacatkan sistem kehidupan dan tidak akan menimpa manusia dengan kesulitan, tetapi boleh menyebabkan kehidupan mereka terkeluar dari jalan yang lurus dan terkeluar dari keadaan yang dituntuti oleh fitrah yang sejahtera dan adat yang mulia.
Dalam perkara tahsiniyyat, disyariatkan taharah (bersuci) badan dan pakaian, menutup aurat, dilarang membunuh kanak-kanak dan wanita dalam peperangan dan hukum-hukum akhlak mulia yang lain lagi.
Ketiga-tiga bahagian masalih ini merupakan titik tolak prinsip masalih al-mursalah, kerana diantara masalah-masalah yang syarak meraikan kepentingan-kepentingan orang ramai dalam mensyariatkan hukum-hukum dunia sebagai kurniaannya bukan wajib ke atasnya, keran inilah ramai dari kalangan para ulama berpegang dengan masalih al-mursalah dan bersetuju dengan mereka oleh ulama-ulama Syafie di antaranya ialah Imam Al-Ghazali di dalam masalih dururiyyat.
Adapun masalih hajiyyat dan tahsiniyyat mereka tidak menghatuskan hukum dengan semata-matanya jika tidak disokong dengan kesaksian mana-mana prinsip syarak kecuali adalah hukum itu berdasarkan darurat iaitu :
الضرورات تبيح المحظورات
Maksudnya : darurat yang menharuskan perkara-perkara yang dilarang.[7]







MASLAHAH MURSALAH SEBAGAI SUMBER HUKUM


Para ulama bersepakat tiada ruang bagi menggunakan qiyas, istihsan dan istislah dalam perkara ibadah kerana ia adalah hukum yang tiada ruang bagi akal memahami maslahat (kebaikan) yang terkandung dalamnya dikenali sebagai hukum ta’abbudi. Sebagai contohnya, hukum menyapu khuf iaitu jenis selipar yang dibuat daripada kulit. Ali a.r. pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “mengapa tidak disapu dibahagian bawah khuf tetapi di bahagian atas? Rasulullah SAW menjawab, “begitulah hukum yang sudah ditetapkan oleh Allah yang adakalanya melangkaui akal fikiran manusia.”
           

Namun begitu, penentuan hukum selain daripada ibadah yang tidak ada nas melalui al-Quran, sunnah atau ijmak terdapat perbezaan dalam kalangan ulama:
Ø  Menurut Imam Malik, Imam Ahmad dan ulama sealiran dengannya berpendapat masalih mursalah adalah jalan syarak yang diharuskan bagi menentukan jalan penyelesaian hukum dalam perkara yang tidak ada nas dan tidak ada keputusan ijmak ulama.
Ø  Imam Syafie dan ulama sealiran dengannya berpendapat istislah tidak boleh dijadikan sandaran hukum kerana sesiapa yang mengambilnya sebagai sandaran hukum seolah-olah pencipta syariah sebagaimana orang yang menggunakan istihsan yang menentukan hukum berdasarkan hawa nafsu. Hanafi juga menolak maslahah sebagai sumber hukum.
Ø  Al- Tufi, salah seorang ulama Hambali berpendapat masalih mursalah adalah dalil syarak yang asas bagi penentuan hukum muamalah dan lainnya dan disyaratkan ia mestilah membawa faedah kepada manusia dan menolak kemudaratan. Selain itu, istislah juga adalah dalil syarak yang asas bagi penentuan hukum yang tiada nas padanya dan menjadi sumber syarak yang asas dan dalil syariah yang umum.




PENDAPAT ULAMA TERHADAP HUJAHNYA
Para ulama telah bersepakat perpendapat bahawa masalih al-mursalah tidak jadi hujah di dalam perkara-perkara ibadah, kerana perkara-perkara ibadah tidak ada ruang bagi diijtahid disebabkan ia terbatas kepada wahyu sahaja.
Tetapi mereka berselisih pendapat di dalam perkara-perkara muamalat, adakah masalih al-mursalah di anggap hujah atau dalil secara berasingan atau tidak?  Terbahagi kepada dua mazhab iaitu :

PERTAMA :

Jumhur Ulama berpendapat bahawa masalih al-mursalah di anggap hujah, ia merupakan pendapat imam-imam yang empat [8]sebagaimana apa yang difahamkan daripada masalah-masalah dan hukum-hukum yang mereka binakannya ke atasnya (masalih al-mursalah) dan ia banyak didapati di dalam kitab-kitab fikah yang berlainan oleh orang yang mengkajinya, ini adalah berlainan dengan apa yang diperkatakan oleh ulama usul fiqh di dalam kitab-kitab mereka iaitu bahawa masalih al-mursalah adalah dianggap hujah oleh ulama Imam Malik sahaja dan tidak oleh imam-imam yang lain.
            Diantara ulama kumpulan ini ialah Imam Al-Ghazali tetapi mengenakan beberapa syarat yang menjadikan masalih al-mursalah termasuk ke dalam peringkat dururiyyat yang mana ulama sepakat berpegang dengannya. Syarat-syarat berhujah dengan masalih al-mursalah pada pendapat Imam Al-Ghazali adalah seperti berikut :
      I.        Hendaklah masalih itu sudah sampai ke peringkat masalih dururiyyat yang adalah ia salah satu daripada dururiyyat yang lima mengikut susunan berikut : iaitu memelihara agama, jiwa, keturunan atau kehormatan, akal dan harta.
    II.        Hendaklah masalih itu qat’iyyat iaitu diyakini ada dan berhasil.
   III.        Hendaklah adalah ia quliyyat iaitu merangkumi faedahnya itu kepada orang-orang ramai dari golongan muslimin. Diantara contohnya ialah masalih al-mursalah yang memanuhi tiga syarat itu ialah apabila orang-orang kafir menyerang kita dengan menjadikan kita sebagai orang tawanan yang berdiri dengan orang-orang islam sebagai benteng atau fungsi pertahanan mereka dan kita yakin bahawa mereka dapat menguasai kampung halaman orang-orang islam dan membunuh seluruh orang-orang islam jika sekiranya kita mengelak diri dari mereka membunuh orang-orang tawanan tersebut. Dan jika kita membunuh orang-orang tawanan itu bererti kita membunuh orang islam tanpa berdosa yang lahir daripadanya, maka membunuh orang tawanan itu di dalam keadaan begini dianggap masalih al-mursalah kerana ia tidak diketahui pada syarak harus membunuh seorang muslim tanpa dosa dan tidak ada dalil juga ke atasnya tidak tidak harus membunuh seorang muslim demi untuk benar-benar mendapat maslihat bagi orang-orang islam malah diyakini bahawa orang tawanan ini di dalam setiap keadaan dibunuh, oleh sebab itu memelihara jemaah orang-orang islam terlebih hamper kepada matlamat syarak daripada memelihara seorang muslim, kerana matlamat syarak ialah mengurangkan bunuh malah menutup jalan yang membawa kepada pembunuh ketika mampu. Di sini kita tidak mampu menutup jalan hanya yang kita mampu ialah mengurangkan pembunuhan.

KEDUA :
Sebahagian ulama berpendapat bahawa masalih al-mursalah tidak dianggap hujah dan tidak boleh dibinakan hukum-hukum syarak ke atasnya. Ia merupakan pendapat Mazhab Al-Zahiriah, sebahagian Ulama Syafie seperti Al-Amdi dan sebahagian Ulama Maliki seperti Ibn Al-Hajib. Ulama-ulama ini berpendapat maslahah yang diambilkira berdasarkan tiga syarat iaitu :
      I.        Hendaklah maslahah itu tahap darurat bukan sekadar hajat sahaja.
    II.        Qit’iyyah bukan zanniyyah.
   III.        Killiyyah bukan juziyyah.
Mereka memberikan contoh apabila orang kafir menjadikan tawanan islam sebagai perisai, maka orang kafir tetap diperangi walaupun terpaksa membunuh dan mengorbankan sebahagian orang islam bagi menegakkan kebenaran dan menhancurkan kekufuran.
KETIGA :
Imam malik dan satu riwayat imam syafie berpendapat al-masalih al-mursalah itu diambilkira apabila memenuhi syarat-syarat berikut :
      I.        Maslahah itu dipastikan wujud bukan waham (sangkaan) sahaja.
    II.        Tidak ada dalil yang membatalkannya, kerana tidak boleh berijtihad pada masalah yang ada nas walaupun tidak ternyata hikmahnya.
   III.        Maslahah hendaklah umum bukan khusus kepada satu kelompok sahaja.
  IV.        Maslahah boleh diterima oleh akal.
   V.        Mengamalkan maslahah itu boleh mengangkat kesulitan dan kesukaran yang pasti.

KESIMPULAN

Masalih mursalah adalah sumber sampingan perundangan Islam serta banyak memberi sumbangan kepada perkembangan undang-undang islam. Ia boleh menjadi sumber perundangan ke atas perkara-perkara yang tidak terdapat nas atau ketetapan ijmak. Kemaslahatan itu mesti disabitkan dengan kajian dan ketelitian yang sebenar.

Dalam kajian ini dapatlah diketahui kesemua bahagian-bahagian maslahah mursalah yang kebiasaannya terjadi dalam kehidupan seharian manusia. Antara yang amat penting untuk diketahui ialah maslahah yang melibatkan maslahah dururiyyah iaitu maslahah yang boleh menyebabkan kerosakan jika tidak diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, maslahah mursalah dapat juga digunakan dalam hujah selain daripada nas-nas al-quran, as-sunnah dan juga ijmak. Walaupun maslahah ini tidak disepakati oleh semua ulama tapi nas ini boleh dipraktikkan dalam kehidupan.

Dapat juga disimpulkan bahawa al-masalih al-mursalah merupakan sumber fiqh yang penting kerana ia telah dibuktikan kebenarannya melalui nas-nas syarak dan hukum-hukum dalam al-quran, as-sunnah dan amalan para sahabat. Bahkan sumber ini luas, dapat memberi jawapan kepada peristiwa-peristiwa yang muncul dan masalah-masalah yang baru, menjadikan fiqh itu fleksibel dan berkembang tidak terhenti di satu tahap dan tidak beku atau sempit apabila berhadapan dengan maslahah yang sebenar yang tidak pernah syarak membina hukum kerananya. Oleh kerana itu, kita dapati para fuqaha mengambil pakai sumber ini bagi mendapatkan hukum-hukum, ada di antara mereka yang banyak mengamalkannya, ada yang sedikit dan ada juga yang sederhana.


[1] Usul fiqh islamiyyah lizaki ad-din sya’ban,halaman 111-112.
[2] الوجيز فى أصول الفقة للدكتور عبدالكريم زيدان,مؤسسة السالة بيروت,الثانية 1978
[3]  Bagian laki-laki dua kali bagian perempuan adalah karena kewajiban laki-laki lebih berat dari perempuan, seperti kewajiban membayar maskawin dan memberi nafkah. (Lihat surat An Nisaa ayat 34).
[4]  Lebih dari dua Maksudnya : dua atau lebih sesuai dengan yang diamalkan Nabi.

[5] Muslihat yang membatalkan ialah bermaksud ملغاة مصلحة
[6] Rujukan berdasarkan buku karangan daripada Mohd. Salleh Haji Ahmad, Syari’at Islam, halaman 17-18.
[7] الوسيط فى اصول الفقة الآسللامي للدكتور وهبة الزحيلي  cetakan kedua 1969m,1388h,المطبعة العلمتة دمشق  halaman 498-501.أصول الفقة للدكتور حسين حامد حسان, دارالنهضة العربية, قاهرة 1970, هلامن 311-318
[8] Bermaksud Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Syafie Dan Imam Hambali.

No comments:

Post a Comment