Saturday, March 12, 2011

article PUIM


HUKUM ISTERI MEMUKUL SUAMI
Disediakan oleh : Norshafizah Binti Abu Talip

Perkahwinan (pernikahan) adalah satu jalinan ikatan yang menghalalkan antara lelaki dan perempuan bukan mahram untuk menjadi suami isteri. Dengan adanya ikatan perkahwinan ini, terdapat hak-hak yang perlu dijaga dan ditunaikan oleh pasangan suami isteri. Antara hak-hak isteri ke atas suami ialah suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri yang meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal di samping memberikan nafkah batin kepada isteri. Bagi isteri pula, terdapat hak suami ke atasnya yang wajib dilaksanakan iaitu isteri wajib taat dan melakukan segala perintah suaminya selagi perintahnya itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.
            Kebanyakkan pasangan suami isteri pada masa kini adalah berdasarkan pilihan hati mereka sendiri. Mereka yang saling mengenali sebelum melangsungkan perkahwinan tetapi mengapa timbul pula masalah selepas perkahwinan. Walaupun ada dikatakan bahawa pergaduhan dalam rumahtangga itu adalah satu lumrah perkahwinan, tetapi bukankah islam telah mengajar kepada umatnya agar bersabar dan menyelesaikan masalah itu dengan cara yang baik. Sebaik-baiknya pasangan suami isteri ini seharusnya menghindar daripada sebarang kesalahfahaman, pergaduhan dan pertengkaran antara suami dan isteri dan jika ada masalah seharusnya diselesaikan dengan perbincangan secara baik
            Seperti yang kita ketahui bahawa jika tidak ada lagi persefahaman dalam sesebuah rumahtangga itu, maka perceraian diharuskan antara suami dan isteri jika masalah itu tidak boleh diselesaikan. Cara ini lagi baik, hal ini kerana dapat mencegah daripada berlakunya pergaduhan atau penderaan antara suami dan isteri. Ayat al-Quran yang menyebut tentang perceraian ialah surah al-Baqarah yang bermaksud " talak ( yang boleh dirujuk kembali hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) dipegang terus (isteri itu) dengan cara yang sepatutnya atau dilepaskan (diceraikan) dengan cara yang baik." Dan dalil daripada hadith pula ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “perkara halal yang dimurkai Allah SWT ialah talak”
            Pada masa kini amat sinomin jika perceraian berlaku mesti disebabkan pergaduhan antara suami dan isteri. Yang menjadi persoalannya ialah betulkah isteri berani memukul suami? Hal ini telah berlaku pada pasangan india yang mana baru-baru ini kita telah digemparkan dengan satu berita tentang seorang isteri kepada anggota polis dan seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan parah kepada suaminya, dalam sebutan kes yang berlaku pada 28 Disember 2010.
Tertuduh pertama, Steven Athimoloo, 22, dan tertuduh kedua, Kasturi Saminathan, 27, didakwa bersama-sama sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Balai Polis Rawang, Vimal Raj Gangatharan, 25, iaitu suami Kasturi, dengan menggunakan kayu.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan Hulu Yam, Selayang, Gombak, Selangor, kira-kira pukul 1 pagi, 11 November lepas. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Walaupun pasangan dalam sebutan kes di atas adalah pasangan suami isteri yang bukan beragama islam, tetapi kita mestilah mengambil teladan daripada kes ini, bak kata pepatah melayu “yang baik itu dijadikan teladan dan yang buruk itu dijadikan sempadan”  kerana tidak mustahil kes seperti ini akan berlaku juga kepada pasangan suami isteri yang beragama islam. Bahkan telah ada satu laporan kes tentang pasangan suami isteri yang beragama Islam yang ternyata dakwaan daripada seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Sham, 47, dari Selayang, Selangor yang memberitahu dia telah tujuh tahun menanggung nasib malang didera isteri berusia 43 tahun.
“Syurga di bawah tapak kaki suami bagi seorang isteri”. Daripada kata-kata ini, dapatlah disimpulkan bahawa suami itu adalah orang yang wajib ditaati oleh seorang isteri. Jika menderhaka kepada suami maka isteri itu akan digelar dengan gelaran nusyuz. Para fuqaha bersepakat mengatakan bahawa isteri yang nusyuz[1] terhadap suaminya hukumnya adalah haram, bahkan dia dilaknat kerana nusyuznya itu kecuali jika dia bertaubat.
Perintah untuk mentaati suami sebagai pemimpin keluarga ada disebutkan di dalam al-Quran dan al-hadith Rasulullah SAW. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : “ jika aku boleh memerintahkan supaya orang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya.”[2]
Dalam hadith ini sudah terang lagi bersuluh bahawa islam telah memerintahkan kepada seorang perempuan yang bergelar isteri kepada suami itu sememangnya wajib untuk mentaati suaminya selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak. Pada kebiasaannya wanita atau perempuan amat sinomin dengan sifatnya yang lemah lembut, penyayang dan berjiwa lembut dan halus, tetapi pada masa kini wanita atau perempuan yang berperwatakan seperti itu amat sukar untuk dicari. Seolah-olah perempuan yang berperwatakan seperti itu telah lupus ditelan zaman. Jika ada pun perempuan seperti ini hanya dibuatkan sebagai bahan ketawa dan sindiran masyarakat dan perempuan seperti ini hanya di labelkan sebagai perempuan melayu terakhir.
Oleh yang demikian, wanita sepatutnya mempamerkan kelakuan yang baik sama ada dari segi zahir dan rohani yang sesuai dengan perwatakan sebagai seorang wanita yang solehah. Rasulullah SAW bersabda,“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi). Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.” (Riwayat Abu ‘Asakir)
Pada zaman Rasulullah SAW, bahawa martabat wanita telah pun diangkat daripada kehinaan dan kelemahan pada zaman jahiliyyah. Sehingga ada sabda Rasulullah SAW yang mengatakan bahawa perempuan yang solehah itu lebih baik daripada bidadari syurga. Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya(di dalam sebuah hadis yang panjang):Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?” Baginda menjawab, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”Aku berkata, “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?”Baginda menjawab, “Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning….(hingga akhir hadis)” (riwayat al-Tabrani).
Walaupun tidak dapat lagi disangkal bahawa wanita ini sememangnya dikuasai oleh emosi, tetapi wanita atau perempuan yang baik itu tidak akan membiarkan diri mereka dikuasai oleh emosi kerana emosi yang berlebihan akan memudharatkan mereka atau akan mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan. Oleh yang demikian, jagalah emosi itu daripada menguasai diri. Para wanita atau isteri, jagalah martabat, emosi dan tingkah laku agar tidak dilaknat oleh Allah SWT disebabkan oleh kederhakaan terhadap suami. Firman Allah SWT yang bermaksud “Janganlah perempuan -perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik”(surah Al Ahzab:32).
Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya:  " Sunguh-sunguh meminta ampun untuk seorang isteri yang berbakti untuk suaminya iaitu oleh burung-burung di udara, ikan-ikan di dalam air dan malaikat di langit selama si isteri sentiasa berada di dalam keredaan suaminya. Dan sesiapa sahaja di kalangan isteri yang tidak berbakti kepada suaminya, maka ia mendapat laknat dari ALLAH dan malaikat serta semua makhluk di muka bumi." Saidatina Aishah r.a berkata: "Wahai kaum wanita! Seandainya kamu mengerti kewajipan terhadap suamimu, tentu seorang isteri dari kamu bertindak menyapu debu dari kedua telapak kaki suaminya dengan sebahagian mukanya." Oleh itu, taatilah suami dan janganlah memukul suami kerana syurga seorang isteri berada dibawah tapak kaki suaminya.






RUJUKAN
Ø Al-Quran Resam Uthmani,Dicetak Oleh Percetakan Zafar Sdn Bhd.
Ø Kitab Fikah Mazhab Syafie, Undang-Undang Kekeluargaan, Jilid 4, Dr. Mostofa Al-Khin, Dr. Mostofa Al-Bugho Dan Ali Asy-Syarbaji.
Ø Berita Harian, December 28, 2010.
Ø Akhbar Kosmo, Oleh Nuzulsham Shamsuddin,  8 Mac 2011.


[1] Nusyuz ialah keluar daripada ketaatan atau derhaka kepada suami. Para ulama as-Syafi’eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah keluar (tidak melakukan) ketaatan yang wajid  terhadap suaminya.
[2] Hadith yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi (hadith sahih).

No comments:

Post a Comment