Saturday, March 12, 2011

article fiqh semasa

HUKUM PENGKID DAN PONDAN (MAK NYAH)
Disediakan oleh : Norshafizah binti Abu Talip

Allah SWT telah menciptakan manusia itu dengan sebaik-baik ciptaan. Tetapi isu sekarang yang semakin berleluasa malah telah menjadi satu fenomena global diseluruh dunia ialah isu yang bertentangan dengan akidah umat islam iaitu isu mengenai golongan wanita  membawa imej lelaki dan lelaki membawa imej wanita telah lama diperkatakan. Jika suatu waktu dahulu, wanita yang berperwatakan lelaki ini digelar sebagai tomboy kerana membawa imej lelaki, kini muncul pula golongan yang dinamakan sebagai pengkid dengan imej, penampilan dan perwatakan lelaki begitu juga penampilan golongan lelaki yang digelar sebagai mak nyah dan pondan. Menurut kamus dewan, pondan ialah lelaki yg memiliki sifat perempuan atau sebaliknya (perempuan yg memiliki sifat lelaki).
Keputusan fatwa kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan: “Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang pada hari ini 18 Disember 2008M bersamaan 20 Zulhijjah 1429H setelah meneliti keterangan, hujah-hujah pandangan yang dikemukakan bersetuju untuk memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki yang menyerupai wanita (mak nyah / pondan) samada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah dihukumkan haram disisi Islam.
Jawatankuasa Fatwa juga menggesa ibu bapa dan masyarakat Islam supaya memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekakan pendidikan, tunjuk ajar yang baik kepada anak-anak mereka khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana gejala ini adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.
Keputusan fatwa Negeri Perak ini sejajar dengan keputusan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Jawantankuasa Fatwa Kebangsaan iaitu Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan  Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid). Muzakarah telah memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi agama. Muzakarah menggesa agar masyarakat Islam supaya memberi pendidikan dan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak gadis khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.
Kedua-dua fatwa diatas menyatakan bahawa haram hukumnya bagi lelaki yang menyerupi perempuan dan perempuan yang menyerupi lelaki. Fatwa ini wajib diperakui kesahihannya kerana fatwa ini disokong dengan ayat al-Quran dan al-hadith yang menyatakan bahawa lelaki yang meyerupai perempuan itu adalah haram dan perempuan yang menyerupai lelaki itu adalah haram juga hukumnya dari sudut syarak.
Gejala seperti ini adalah gejala yang abnormal. Gejala ini dikatakan gejala yang abnormal kerana gejala ini amat bertentangan dengan sikap manusia yang normal. Bahkan gejala seperti ini adalah sejahat-jahat bencana kerana boleh mengancam kehidupan manusia dan masyarakat sekeliling. Hal ini kerana kerana masyarakat sekeliling tidak dapat mengenal pasti identiti golongan ini dengan jelas kerana muka dan perwatakan serta imej mereka telah pun berubah walaupun tidak seratus peratus berubah kerana bagi golongan pondan atau mak nyah ini tidak mungkin mereka boleh mengubah getaran suara mereka seperti suara wanita yang diciptakan oleh Allah dan perempuan pula mustahil akan memiliki suara sekasar lelaki yang asli.

Rasulullah s.a.w. pernah menghitung orang-orang yang dilaknat di dunia ini dan disokong juga oleh Malaikat, di antaranya ialah lelaki yang dijadikan oleh  Allah sebagai lelaki, tetapi dia menjadikan dirinya sebagai perempuan dan menyerupai perempuan, dan yang kedua, iaitu perempuan yang diciptakan oleh Allah sebagai perempuan, tetapi kemudian dia menjadikan dirinya sebagai lelaki dan menyerupai orang lelaki (Hadis Riwayat Thabarani). Tafsiran yang dapat diambil daripada hadith ini ialah samalah seperti golongan mak nyah atau pondan dan juga pengkid.

Sering didengari oleh masyarakat tentang istilah pengkid dan mak nyah ini, tetapi masyarakat langsung tidak ada inisiatif untuk membendung masalah ini daripada terus berleluasa. Sepatutnya ibu bapa mahupun masyarakat perlu mengambil inisiatif untuk membendung gejala ini daripada bertambah parah dan berleluasa. Antara insiatif yang boleh dilakukan untuk membendung masalah ialah menasihati mereka supaya berubah dan tidak bergaul dengan orang yang terjerumus lebih dalam lagi dalam gejala ini. Selain itu, pihak kerajaan juga seharusnya memberikan pendedahan yang sewajarnya seperti mengadakan kempen anti mak nyah dan pihak kerajaan seharusnya lebih bertegas dalam membendung gelaja ini daripada lebih berleluasa seperti menguatkuasakan undang-undang.

Adakala jika ditanya kepada golongan ini tentang gejala yang abnormal yang mereka lakukan ini, maka mereka akan terus menengking pada pihak yang bertanya dan ada pula yang suka apabila diajukan soalan tentang gejala ini. Jika dilihat daripada satu persepsi bahawa golongan yang menengking apabila ditanya itu adalah kerana mereka merasakan diri mereka dihina oleh masyarakat. Bagi golongan ini, mereka itu seolah-olah terpaksa berkelakuan begini atas dasar terpaksa atau dipaksa oleh sesetengah pihak. Contohnya mereka diugut berkelakuan yang abnormal untuk mendapatkan sedikit wang untuk menyara hidupnya.

Adapun golongan yang suka apabila ditanya itu adalah golongan yang berbangga dengan kecantikkan dan ketampanannya setelah mereka berubah imej dan penampilan menjadi pengkid atau mak nyah (pondan). Mereka tidak memperdulikan perihal yang dikatakan oleh masyarakat sekeliling kerana mereka merasa mereka amat bahagia dengan dunia mereka yang jauh terkandas daripada landasan Islam yang sebenar. Golongan ini amat bahaya dan sewajarnya diberikan penegasan, nasihat dan tindakan yang sewajarnya kepada mereka agar mereka sedar daripada mimpi-mimpi yang hanya membawa kebahagiaan dunia yang sementara dan yang akan membawa penderitaan yang berkekalan di akhirat jika golongan ini tidak bertaubat.

Hal ini adalah kerana sesetengah daripada golongan ini amat berbangga dengan kesalahan salah laku yang mereka lakukan kerana berpunca daripada kurangnya perhatian dan didikan tentang agama daripada ibu bapa meraka. Tetapi tidak dapat juga disangkal bahawa gejala ini juga berpunca daripada pengaruh persekitaran dan rakan sebaya mereka. Di samping media massa juga menjadi salah satu daripada punca berlakunya gejala abnormal ini kerana sesetengah remaja sangat gemar perkara yang baru. Contohnya filem Oh Bulan yang memerlukan watak pondan dan filem Muallaf yang mana filem ini telah memerlukan Sharifah Amani untuk membotakkan kepalanya untuk watak yang dipegangnya.
Pondan atau mak nyah seringkali dikatakan dalam akhbar metro bahawa duit lakonan yang memegang watak pondan itu adalah haram. Kegiatan ini kian giat berlaku dan sering dijalankan oleh penerbit filem dan drama yang menghendaki para pelakon lelaki memegang watak sebagai pondan. Menurut Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berkata hukum itu jelas menyebut setiap lelaki tidak boleh menyerupai perempuan serta sebaliknya perempuan tidak boleh menyerupai lelaki berikutan hukumnya adalah haram serta dilaknat oleh Allah SWT.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam membenteras gejala ini daripada bertambah berleluasa. maka nasihatilah meraka agar mereka kembali ke landasan Islam yang sebenar dan galakkanlah mereka untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan berazam tidak akan kembali melakukan gejala abnormal ini lagi. Allah SWT akan mengampunkan taubat hamba-hambanya seperti dalam firmanNya yang bermaksud : Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan[1] yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, Maka mereka Itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang". dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih.[2]





RUJUKAN
Ø Al-Quran Resam Uthmani,Dicetak Oleh Percetakan Zafar Sdn Bhd.
Ø  Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (http://www.e-fatwa.gov.my/).
Ø  Fatwa Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan
Ø Kamus Dewan, Diterbitkan Oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2005 (Edisi Keempat).
Ø Akhbar Harian Metro, Dikemaskini Oleh “M” Pada March 27th, 2009.


[1] Maksudnya Ialah: 1. orang yang berbuat maksiat dengan tidak mengetahui bahwa perbuatan itu adalah maksiat kecuali jika dipikirkan lebih dahulu. 2. orang yang durhaka kepada Allah baik dengan sengaja atau tidak. 3. orang yang melakukan kejahatan karena kurang kesadaran lantaran sangat marah atau karena dorongan hawa nafsu.
[2] Surah an-nisa ayat 17-18.

No comments:

Post a Comment