Saturday, March 12, 2011

PROSEDUR PERCERAIAN


PROSEDUR PERCERAIAN

1. Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah membuat permohonan kepada Mahkamah Syari‘ah di mana (tempat) dia bermastautin.

2. Sebelum sesuatu permohonan cerai dikemukakan kepada Mahkamah Syari‘ah, pihak suami isteri diminta membuat pengaduan ke Bahagian Khidmat Nasihat/Rundingcara di Pejabat Agama Islam Daerah untuk diberikan rundingan terlebih dahulu.

3. Sekiranya tidak ada jalan penyelesaian untuk mereka berdamai barulah kes tersebut dipanjangkan ke Mahkamah Syari‘ah.

4. Setelah Mahkamah Syari‘ah bersidang dan membuat sesuatu keputusan mengenai perceraian pasangan tersebut, pihak Mahkamah hendaklah menghantar satu salinan keputusan permohonan tersebut kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju‘ Daerah yang berkenaan.

5. Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah menyemak keputusan perceraian yang dikeluarkan oleh Mahkamah tersebut. Jika terdapat keraguan atau kesilapan teknik hendaklah dikembalikan untuk pembetulan.

6. Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah menandatangani Sijil Cerai yang telah disempurnakan dan menghantar satu salinan kepada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai da Ruju` Negeri Melaka.

7. Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah merekodkan dan mendaftarkan perceraian tersebut di dalam Buku Daftar Cerai.

8. Pendaftar hendaklah menyerahkan Sijil Cerai tersebut kepada pasangan berkenaan setelah isteri tersebut tamat ‘iddahnya dan direkodkan di dalam buku daftar serahan sijil cerai.

9. Bagi kes suami yang ingin berkahwin dengan perempuan lain semasa dalam ‘iddah isterinya, maka pihak suami dikehendaki membuat permohonan berpoligami kepada Mahkamah Syari‘ah di mana tempat ia bermastautin/tinggal.

10. Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah merekodkan dan mencatatkan maklumat perceraian tersebut berdasarkan keputusan Mahkamah.

TALAQ


PENGERTIAN TALAQ

Talaq dari segi bahasa bererti melepaskan ikatan.

Dari segi syara‘ ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz talaq atau seumpamanya.

DALIL HARUS TALAQ

Firman Allah subhanahu wata‘ala:

Maksudnya:
“Cerai (talaq) itu dua kali, selepas itu peganglah isteri kamu (ruju‘ dan kekallah) dengan cara yang baik atau lepaskanlah dengan cara yang baik.”
(Surah Al-Baqarah, 2:229)

Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anh yang bermaksud:

“Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah menceraikan isterinya Hafsah kemudian Baginda meruju`nya semula.”
(Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)

RUKUN DAN SYARAT TALAQ

1. Suami. Syarat-syarat suami ialah:

    a) Mestilah seorang lelaki itu telah menjadi suami melalui perkahwinan yang sah, tidak jatuh talaq jika belum berkahwin atau setelah bercerai dan habis ‘iddah.

    b) Hendaklah dalam keadaan sedar, tidak jatuh talaq jika sekiranya gila, pengsan, mengigau dan pitam kecuali mabuk yang disebabkan meminum minuman keras dengan sengaja.

    c) Baligh.

    d) Dengan rela hati dan tidak dipaksa, tidak jatuh talaq jika diugut menceraikan isteri.

2. Isteri. Syarat-syarat isteri:

    a) Perempuan yang diceraikan hendaklah menjadi isteri yang sah semasa diceraikan.

    b) Talaq akan bertambah lagi jika suami mentalaqkan isteri yang di dalam ‘iddah perceraian talaq satu.

3. Sighah (lafaz). Sighah talaq terbahagi kepada dua:

    a) Lafaz sarih (terang), iaitu yang diucapkan dengan terang dan jelas. Lafaz sarih ini terbahagi kepada tiga ucapan seperti berkata: “Aku ceraikan engkau talaq satu”, “Aku lepaskan kau” dan “Aku talaqkan kau”. Talaq dengan lafaz yang seperti ini akan jatuh talaqnya walaupun tanpa niat.

    b) Lafaz kinayah (lafaz kiasan), iaitu cerai yang dilafazkan menggunakan bahasa sindiran seperti berkata: “Engkau haram atas diriku” atau “Pergilah balik ke rumah emak bapak kamu”. Lafaz kinayah ini akan jatuh talaq jika suami berniat menceraikan isterinya.

4. Qasad (niat).

HUKUM TALAQ

Hukum menjatuhkan talaq pada asalnya diharuskan dalam Islam, tetapi ia akan berubah menjadi:

    1. Wajib: Setelah rumahtangga itu gagal diperbaiki dengan keputusan hakim atau suami telah bersumpah untuk menceraikan isterinya.

    2. Haram: Menceraikan isteri semasa isteri di dalam waktu haidh atau ketika suci tetapi baru disetubuhi.

    3. Sunat: Jika suami tidak dapat menyempurnakan nafkah batin.

    4. Makruh: Boleh menjadi haram jika menceraikan isteri tanpa sebab yang munasabah.

Islam menetapkan hanya suami sahaja yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan talaq. Walaubagaimanapun, isteri juga diberikan hak untuk memohon cerai dengan cara fasakh atau khul‘ (tebus talaq).


PEMBAHAGIAN TALAQ

Talaq terbahagi kepada dua jenis iaitu:

1. Talaq raj‘i, iaitu talaq yang boleh diruju‘ kembali tanpa perlu akad nikah iaitu ketika isteri dalam waktu ‘iddah (sebelum tiga kali suci daripada haidh).

2. Talaq ba’in, ia terbahagi kepada dua:

    a) Ba’in sughra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ oleh suami kecuali diadakan akad nikah semula iaitu perceraian sama ada melalui fasakh, khul‘ atau talaq isteri yang belum disetubuhi.

    c) Ba’in kubra ialah talaq yang tidak boleh diruju‘ kembali dengan cara biasa melainkan setelah syarat berikut dipenuhi:

    i. Setelah selesai ‘iddah si isteri.

    ii. Bekas isteri berkahwin dengan suami lain.

    iii. Suami lain menyetubuhi bekas isteri itu dan berlaku perceraian.

    iv. Selesai ‘iddah dari suami yang lain itu.

TA‘LIQ

PENGERTIAN TA‘LIQ

* Ta‘liq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.


    SYARAT TA‘LIQ

    * Syarat jatuh cerai ta‘liq :

    1. Suami: Hendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata ta‘liq.

    2. Belum berlaku: Hendaklah ta‘liq ke atas perkara yang belum berlaku atas perkara yang mungkin berlaku.

    3. Isteri: Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah).

* Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.

* Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.


    PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI TA‘LIQ

* Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 50, seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak memohon penceraian menurut syarat-syarat ta‘liq yang dibuat selepas akad nikah. Kandungan lafaz ta‘liq tersebut:

1. Meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut.

2. Tidak memberi nafkah yang wajib selama empat bulan berturut-turut.

3. Menyakiti tubuh badan isteri.

4. Suami tidak mempedulikan isteri selama tempoh empat bulan berturut- turut.

LI‘AN


PENGERTIAN LI‘AN

Li‘an berlaku apabila terjadinya qazaf iaitu suami menuduh isterinya berlaku zina atau menafikan anak yang dikandungkan oleh isterinya sebagai anak.

Li‘an ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina tanpa mempunyai empat orang saksi kecuali dirinya sahaja, maka hendaklah dia bersumpah empat kali “bahawa dia adalah orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.

Sekiranya isteri menolak tuduhan tersebut, maka hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta” dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah jika suaminya benar”.

Firman Allah subhanahu wata‘ala:

“Adapun orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya sahaja maka persaksian bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.”    (Surah An-Nur, 24:6-9)


    KESAN LI‘AN

Berdasarkan Seksyen 51 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 menegaskan bahawa:

“Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah dengan cara li‘an mengikut hukum syara‘ di hadapan seorang hakim syar‘i, atas penghakiman, maka hakim syar‘i itu hendaklah memerintahkan mereka difaraqkan dan dipisahkan dan hidup berasingan selama-lamanya.”

Mengikut peruntukan hukum syara‘, sekiranya yang menuduh (suami) enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan sebatan sebanyak 80 kali rotan. Manakala jika isteri yang dituduh pula tidak menolak tuduhan suaminya, maka dia akan dikenakan hukuman sebagaimana orang yang berzina kecuali kedua-dua mereka bersumpah dan melakukan li‘an.

Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li‘an, maka ikatan perkahwinan mereka suami isteri akan terputus sama sekali dan mereka diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya.

Ibnu ‘Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

 “Suami isteri yang melakukan li‘an apabila mereka berdua berpisah, kedua-dua mereka tidak boleh berkumpul (berkahwin) untuk selama-lamanya.
    (Riwayat Daruqutni)

FASAKH


PENGERTIAN FASAKH

* Fasakh ialah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.


    SEBAB FASAKH

* Antara sebab yang boleh menyebabkan berlakunya fasakh ialah:

1. Sebab yang merosakkan akad.

a) Isteri termasuk dalam golongan orang yang haram dikahwini sama ada sebab keturunan, susuan atau persemendaan atau bekas isteri yang dalam tempoh ‘iddah talaq suami pertamanya.

b) Pernikahan yang dilakukan semasa belum baligh (kecil) dan apabila baligh minta difasakhkan akad itu.

2. Sebab yang mendatang selepas pernikahan.

a) Salah seorang daripada suami atau isteri itu murtad.

b) Pasangan suami isteri bukan Islam semasa bernikah dan salah seorang memeluk Islam.

c) Suami telah melakukan salah satu perkara yang diharamkan sebab persemendaan seperti berzina dengan ibu mertua.

* Manakala dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka 2002, Seksyen 53 menegaskan lagi sebab-sebab yang menyebabkan berlakunya fasakh seperti di bawah ini:

1. Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih dari setahun.

2. Suami cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan.

3. Suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.

4. Suami telah tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama tempoh satu tahun.

5. Suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami mati pucuk.

6. Suami telah gila selama tempoh dua tahun, sedang mengidap penyakit kusta atau sedang mengidap penyakit kelamin yang boleh berjangkit.

7. Isteri telah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum dia mencapai umur enam belas (16) tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas (18) tahun dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu.

8. Suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, iaitu antaranya:

a) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya.

b) Berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atau hidup keji mengikut pandangan hukum syara‘.

c) Cuba memaksa isteri hidup secara lucah.

d) Melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu.

e) Menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya.

f) Jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isterinya secara adil mengikut kehendak-kehendak hukum syara‘.

9. Walaupun empat bulan berlalu perkahwinan itu belum disatukan kerana suami atau isteri bersengaja enggan bersetubuh.

10. Isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah sama ada dengan sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal atau lain-lain hal yang diakui oleh hukum syara‘.

    HIKMAH FASAKH

    1. Untuk menjamin hak dan perlindungan kepada kaum wanita sekiranya mereka teraniaya.

    2. Menyedarkan kaum suami bahawa perceraian bukan hanya dimiliki secara mutlak oleh suami sahaja.

    3. Menunjukkan keunggulan syari‘at Allah subhanahu wata‘ala yang Maha Mengetahui akan keperluan hambaNya.